DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANGKUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-8-01/2016 ANTARA MAHENDRAN A/L BATU MALAI PERAYU DAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45A-83-04/2013 Antara Pendakwa Raya Lawan Mahendran a/l Batu Malai] KORUM: MOHD ZAWAWI SALLEH, HMR AHMADI HJ. ASNAWI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR 1
PENGHAKIMAN MAHKAMAH [1] Perayu telah di hadapkan dengan satu pertuduhan bagi kesalahan memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ( Akta ) yang boleh membawa hukuman gantung hingga mati di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. [2] Butir-butir pertuduhan terhadap perayu adalah seperti berikut: Bahawa kamu pada 28 Ogos 2012, jam lebih kurang 8.00 malam, bertempat di Stesyen Minyak Petronas PSS UPM, Serdang, Lot 6306, Jalan Besar Serdang, di dalam daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah memperedarkan dadah berbahaya, iaitu sejumlah berat 31.6 gram iaitu 22.6 gram Heroin dan 9.0 gram Manoacetylmorphines, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. [3] Di akhir perbicaraan, hakim Mahkamah Tinggi telah mensabitkan perayu dengan pertuduhan yang dikemukakan dan menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas perayu. Perayu merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati tersebut. 2
[4] Kami telah mendengar dan menimbangkan rayuan perayu pada 12.1.2017. Kami dengan sebulat suara telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi. Kini kami perturunkan alasan-alasan terperinci penolakan rayuan perayu. Kes Pendakwaan [5] Pada 22.8.2012, jam lebih kurang 5.00 petang, Inspektor Saravanan a/l Diwanantong (SP5) telah menerima satu maklumat daripada seorang sumber berdaftar mengenai penglibatan seorang lelaki India yang bernama Vasu (perayu) dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis Heroin di kawasan Desa Mentari, Serdang. Sumber kemudiannya telah memaklumkan kepada SP5 bahawa perayu ingin berjumpa dengan bakal pembeli di Restoran Saaz Desa Mentari selepas pukul 7.00 malam hari tersebut. [6] Bertindak atas maklumat yang diterima, SP5 telah melantik Konstabel Anbalagan a/l Vasu (SP4) untuk bertindak sebagai penyamar sulit (AP) dalam urusan jual beli dadah dengan perayu. [7] Pada jam 6.30 petang, SP4 bersama-sama anggota operasi telah pergi ke Restoran Saaz. Sumber turut pergi bersama ke Restoran itu. Sumber telah menghubungi perayu melalui telefon bimbit dan dalam 3
masa 10 minit, perayu telah tiba di Restoran tersebut. Sumber telah memperkenalkan SP4 kepada perayu sebagai pembeli. [8] Satu perbincangan telah diadakan antara SP4 dengan perayu mengenai transaksi jual beli dadah. SP4 telah bersetuju untuk membeli 2 paun dadah jenis heroin pada harga yang dipersetujui RM8,000.00 bagi setiap paun. Masa transaksi jual beli akan ditentukan kemudian setelah bekalan diperolehi oleh perayu. Perayu turut mengenakan syarat bahawa sumber hendaklah hadir bersama semasa transaksi jual beli dijalankan. [9] Pada 28.8.2012, jam lebih kurang 5.30 petang, SP5 telah menerima maklumat daripada sumber yang menyatakan perayu ingin melakukan transaksi jual beli pada hari itu juga antara jam 6.30 petang 7.00 petang di Kawasan Rehat & Rawat, Plaza Tol UPM. [10] SP4 melihat perayu sampai ke R&R Plaza Tol UPM dan perayu terus masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh SP4. Perayu telah memaklumkan kepada SP4 bahawa barang akan sampai dalam masa setengah jam. Perayu telah meminta SP4 supaya memandu ke Stesyen Petronas PSS UPM dan memaklumkan bahawa urusan jual beli akan dilakukan di situ. 4
[11] Lebih kurang 10 minit selepas tiba di Stesyen Petronas tersebut, perayu telah memaklumkan SP4 bahawa barang telah tiba. Perayu menyatakan bahawa dia akan pergi mengambil barang itu dengan menaiki motosikal kawannya, yang kemudiannya dikenali sebagai Thevar a/l Muniandy (SP1), yang sedang menunggunya di hadapan Stesyen Petronas tersebut. Perayu telah meminta SP4 supaya memandu ke bahagian belakang Stesyen Petronas tersebut apabila melihat perayu sampai semula di Stesyen Petronas tersebut. [12] Kira-kira 15 minit kemudian, perayu telah memaklumkan kepada SP4 bahawa dia sedang dalam perjalanan untuk kembali ke Stesyen Petronas tersebut. Pada jam lebih kurang 8.00 malam, SP4 melihat perayu dan rakannya (SP1) tiba semula di Stesyen Petronas. Rakannya telah turun di hadapan Stesyen Petronas dan perayu kemudiannya telah menunggang motosikal pergi ke bahagian belakang stesyen Petronas tersebut. SP4 terus mengekori motosikal yang ditunggang oleh perayu. Pada masa yang sama, kereta pasukan serbuan yang diketuai oleh SP5 turut bergerak ke bahagian belakang Stesyen Petronas tersebut. Perayu telah memberhentikan motosikalnya di belakang kereta yang dipandu oleh SP4. 5
[13] Perayu kemudiannya dilihat telah membuka satu kotak [P8(A1)] yang diambil dari dalam satu beg plastik berwarna oren [P8(A)] yang terletak di dalam bakul motosikalnya dan menunjukkannya kepada SP4. SP4 dapat melihat di dalam kotak itu terdapat dua paket plastik [P8(A1 a- b)] berisi bahan disyaki dadah berbahaya. Setelah melihat barang kes yang ditunjukkan oleh perayu, SP4 terus memberitahu perayu bahawa beliau akan pergi mengambil duit dari dalam kereta. Semasa berjalan kearah keretanya, SP4 terus memberikan isyarat kepada pasukan serbuan untuk menjalankan serbuan, rampasan dan tangkapan terhadap perayu. [14] Melihat isyarat yang diberikan oleh SP4, SP5 dan anggota pasukannya terus membuat serbuan ke arah perayu sambil memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis. Perayu terus cuba melarikan diri setelah mencampakkan beg plastik P8(A) yang mengandungi kotak P8(A1) dan 2 paket plastik P8(A1 a-b) ke atas lantai. Perayu berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan. [15] SP5 telah mengutip beg plastik berwarna oren yang sebelumnya dicampakkan oleh perayu ke atas lantai. Setelah membuat pemeriksaan di hadapan perayu, SP5 mendapati di dalam beg plastik berwarna oren tersebut mengandungi satu kotak bertulisan Blur King yang di dalamnya 6
mengandungi 2 paket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan berwarna hijau disyaki dadah berbahaya. [16] Tindakan susulan pihak polis telah berjaya menahan SP1 di hadapan Stesyen Petronas tersebut dan seorang lagi bernama Ruben a/l Parandhaman (SP7) di Stesyen Minyak Shell, Plaza Tol Sg. Besi. Tangkapan terhadap SP7 adalah atas maklumat yang telah diberikan oleh perayu sendiri. [17] Serbuk dan ketulan berwarna hijau yang ditemui di dalam 2 paket plastik lut sinar P8(A1 a-b) telah di hantar kepada ahli Kimia, Dr. Vanitha a/p Kunalan (SP2), untuk dianalisis. Hasil analisis yang telah dijalankan, SP2 mengesahkan bahawa serbuk dan ketulan berwarna hijau yang terdapat dalam 2 paket plastik lut sinar P8(A1 a-b) tersebut mengandungi dadah berbahaya seberat 22.6 gram Heroin dan seberat 9.0 gram Monocetylmorphines, hal perkara dalam pertuduhan. Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan [18] Hakim bicara yang bijaksana telah membuat dapatan fakta bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu atas pertuduhan yang di hadapkan. Hakim bicara telah berpuashati bahawa kesemua elemen pertuduhan telah berjaya 7
dibuktikan. Hakim bicara telah menerima keterangan SP2 bahawa jenis dadah-dadah berbahaya serta berat yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah dadah-dadah berbahaya bagi maksud Akta. Hakim bicara mendapati rantaian keterangan mengenai barang kes dadah yang dipertuduhkan tidak terputus. Kesemua barang kes telah dicamkan secara positif oleh saksi-saksi pendakwaan di dalam Mahkamah. [19] Hakim bicara seterusnya membuat dapatan bahawa perayu mempunyai milikan sebenar dadah-dadah yang dipertuduhkan dan mempunyai pengetahuan terhadap pemilikan tersebut berdasarkan kepada fakta bahawa perayu telah terlibat dalam perundingan untuk satu transaksi jual beli dadah dengan AP di mana perayu telah bersetuju untuk membekalkan 2 paun dadah berbahaya kepada AP/SP4 dengan harga RM8,000.00 bagi setiap paun. Perayu juga telah membawa dadah berbahaya yang dipertuduhkan untuk diserahkan kepada AP/SP4 di tempat yang telah ditetapkan sendiri oleh perayu iaitu di bahagian belakang Stesyen Petronas PSS UPM. Hakim bicara akhirnya mendapati perbuatan perayu yang membawa sejumlah dadah berbahaya ke tempat tangkapan untuk diserahkan kepada AP/SP4 terjumlah kepada satu perbuatan pengedaran seperti ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta. Dengan demikian, hakim bicara telah memerintahkan perayu untuk membela diri atas pertuduhan. 8
Kes Pembelaan [20] Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Secara ringkasnya, pembelaan perayu adalah seperti yang berikut: (a) (b) (c) (d) (e) (f) Pada 22.8.2012, perayu telah dihubungi oleh kawannya bernama Siva untuk berjumpa di Restoran Shaaz di Desa Mentari; Dalam perjumpaan tersebut, Siva berada bersama 2 orang lagi yang bernama Ruben (SP7) dan Ravi (sumber). Perayu menafikan ada berjumpa dengan SP4 di Restoran tersebut; Dalam pertemuan itu, perayu hanya berbual dengan Siva dan Siva telah menyerahkan beberapa dokumen untuk menarik motor di tempatnya bertugas; Pada 28.8.2012, Siva telah menghubungi perayu dan meminta bantuan perayu untuk menghantar satu bungkusan kepada seseorang di Petronas UPM. Perayu tidak tahu jalan untuk ke situ dan perayu telah mengajak Thevar (SP1) untuk pergi bersama; Tiba di Petronas UPM, perayu terima panggilan telefon dari Siva yang memintanya supaya pergi mengambil hadiah tersebut di Stesyen Minyak Shell Sg. Besi. Perayu membawa SP7 pergi ke sana bersama; Semasa di Shell Sg. Besi, SP7 telah meletakkan hamper hadiah dalam bakul motosikal perayu. Pada masa itu SP7 berada bersama dengan Ravi (sumber); 9
(g) (h) (i) (j) Selepas itu, perayu pergi semula ke Stesyen Petronas UPM untuk berjumpa dengan Siva setelah SP7 memberitahu bahawa Siva telah berada di sana; Tiba di Stesyen Petronas UPM, perayu telah ditangkap oleh pihak polis; Perayu menafikan pergi ke Stesyen Petronas UPM untuk berjumpa dengan SP4; dan Perayu turut menafikan dia ada berjumpa dengan SP4 di dalam kereta SP4 di Plaza Tol UPM. [21] Setelah menimbangkan pembelaan perayu, hakim bicara mendapati pembelaan perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Hakim bicara berpandangan bahawa pembelaan perayu tidak munasabah, mengelirukan dan sukar difahami. Hakim bicara turut berpandangan bahawa pembelaan perayu sekadar bersifat penafian semata-mata dan satu pemikiran terkemudian. Penama Siva yang menjadi teras pembelaan perayu tidak pernah ditimbulkan semasa kes pendakwaan. Pembelaan perayu telah ditolak oleh hakim bicara. Hakim bicara memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Dengan itu perayu telah disabitkan dan dihukum gantung hingga mati. 10
Rayuan perayu [22] Di hadapan kami peguambela perayu telah menimbulkan dua (2) alasan rayuan dalam hujahannya, iaitu: (a) (b) Hakim bicara sepatutnya mendengar perbicaraan pertuduhan terhadap perayu secara de novo; dan Hakim bicara terkhilaf dalam mensabitkan perayu di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta sedangkan terdapat keterangan yang mencukupi bagi kesalahan memiliki (possession) di bawah seksyen 12(2) Akta. [23] Mengenai alasan pertama, peguambela terpelajar berhujah hakim bicara telah mengambil alih perbicaraan kes terhadap perayu selepas hakim bicara terdahulu (YA Chong Siew Khim) bersara setelah enam (6) dari tujuh (7) saksi pendakwaan memberi keterangan. Hakim bicara hanya mendengar keterangan dari saksi pendakwaan SP7 sahaja sebelum membuat keputusan wujud sama ada satu kes prima facie terhadap perayu. Walaupun terdapat permintaan dari peguambela terdahulu supaya pendengaran kes dilakukan secara de novo, namun ia telah dibantah dengan keras oleh pihak pendakwaan. 11
[24] Peguambela terpelajar telah merujuk kepada peruntukan di bawah seksyen 261 Kanun Acara Jenayah (KAJ) dan keputusan Richard Malanjum PK (sebagaimana YAA ketika itu) dalam kes PP v. Mohd Jon [1993] 1 MLJ 133 dan kes Lai Weng Keat v. PP [2015] 9 CLJ 957 bagi menyokong hujahannya. [25] Peguambela terpelajar turut membangkitkan isu berkaitan dengan percanggahan keterangan antara dua saksi penting pendakwaan iaitu SP1, seorang rakan sejenayah dan SP4, seorang penyamar sulit. Peguambela telah merujuk kepada kami dua percanggahan dalam keterangan dua saksi penting tersebut yang mewajarkan kes dibicarakan secara de novo untuk hakim bicara dapat membuat pemerhatian terhadap demenour dan kredibiliti saksi-saksi tersebut. Mengenai isu yang sama, peguambela membantah apabila hakim bicara menyatakan di dalam alasan penghakimannya bahawa saksi-saksi SP1 dan SP4 telah memberikan keterangan di hadapan hakim bicara tersebut. [26] Mengenai alasan rayuan pertama, peguambela terpelajar turut menimbulkan isu kegagalan hakim bicara untuk membenarkan permohonan peguambela terdahulu untuk memanggil semula SP1 dan 12
SP4 dibawah peruntukan seksyen 425 KAJ setelah dibantah dengan keras oleh pihak pendakwaan. [27] Mengenai alasan rayuan kedua, bantahan peguambela adalah terhadap pandangan yang dibuat oleh hakim bicara dalam alasan penghakiman yang menyebutkan bahawa berat dadah berbahaya yang dipertuduhkan tidak konsisten dengan perbuatan pengedaran namun hakim bicara tetap mensabitkan perayu atas kesalahan pengedaran di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta dan menjatuhkan hukuman mati ke atas perayu. Dihujahkan hakim bicara sepatutnya mensabitkan perayu bagi kesalahan memiliki di bawah seksyen 12(2) Akta dan dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta. Alasan hakim bicara bahawa pertuduhan terhadap perayu melibatkan seorang penyamar sulit (AP) adalah dihujahkan oleh peguambela sebagai tidak rasional. [28] Peguambela memohon supaya rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman mati terhadap perayu diketepikan dan satu perbicaraan semula di hadapan seorang hakim yang lain diperintahkan. Keputusan Kami [29] Mengenai alasan rayuan pertama, iaitu perbicaraan de novo, kami mendapati isu ini telah dibincangkan dan ditimbangkan oleh hakim bicara. 13
Mengikut rekod, peguambela terdahulu sebenarnya telah menarik balik permohonan mereka untuk perbicaraan de novo. Perkara ini dapat dilihat di ms 163 RR Jld.2B seperti berikut: P/bela : Dengan izin, minta maaf YA. Jika dizinkan YA, saya perlu membuat satu permohonan memandangkan kes kita ini telah didengar oleh YA Hakim lain sebelum ini dan untuk keadilan kes ini, saya dengan rendah diri memohon untuk 3 orang saksi dipanggil semula. YA Hakim : Recall? Because that day I thought for other cases itu saya ada berjumpa. I don t remember for this matter that did you come before me for any case management? TPR : Yes, YA. Di mana pihak-pihak bersetuju untuk tidak denovo dan untuk YA sendiri proceed dalam kes ini. YA Hakim : Haa, teruskan but now you would like to recall the witnesses. Recall ke macamana tu? Because I thought that it will be better kalau kita recall and then what? [penekanan ditambah] [30] Mengenai dakwaan peguambela bahawa hakim bicara telah menolak permohonan peguambela terdahulu untuk memanggil semula saksi SP1 dan SP4, kami tidak bersetuju. Kami mendapati bahawa permohonan peguambela terdahulu untuk memanggil semula SP1 dan SP4 turut juga telah ditarik balik. Ini dapat dilihat di ms 170 RR Jld. 2B, seperti berikut: 14
DALAM MAHKAMAH TERBUKA BERTARIKH : 24.11.2014 DI HADAPAN : HAKIM Y.A. DATO WAN ARFAH BINTI DATO PADUKA WAN IBRAHIM 9.00 pagi : Siti Balkiah b.p. Pendakwaan Mr. James George OKT hadir Mahkamah b.p. Tertuduh : Kes ditetapkan untuk Sambung Bicara P/bela TPR P/bela : Having going through the Notes of Evidence, I don t intend to recall the 2 witnesses. : As such I would like to close my case. I would like to offer the witnesses which is ini the witness list which has not been called by the prosecution. : We have no intention to recall the witnesses. Pihak-pihak memerlukan Nota Keterangan untuk menyediakan hujahan bertulis. [31] Peguambela telah bersandar kepada peruntukan di bawah seksyen 261 KAJ dalam hujahannya. Seksyen 261 KAJ memperuntukan seperti berikut: Change of Magistrate during hearing 261. Whenever any Magistrate after having heard and recorded the whole or any part of the evidence in a trial ceases to exercise jurisdiction in it and is succeeded by another Magistrate who has and who exercises 15
such jurisdiction, the Magistrate so succeeding may act on the evidence so recorded by his predecessor, or partly recorded by his predecessor and partly recorded by himself, or he may re-summon the witnesses and recommence the inquiry or trial: Provided as follows: (a) (b) in any trial the accused may, when the second Magistrate commences his proceedings, demand that the witnesses or any of them be re-summoned and re-heard; The High Court may, whether there be an appeal or not, set aside any conviction had on evidence not wholly recorded by the Magistrate before whom the conviction was had, if that Court is of opinion that the accused has been materially prejudiced thereby, and may order a new trial. [32] Peruntukan seksyen 261 KAJ adalah jelas dan ia membawa makna bahawa hakim bicara yang mengambil alih perbicaraan mempunyai kuasa budibicara untuk mendengar kes itu secara de novo. Pandangan kami adalah berlandaskan kepada perkataan may yang digunakan dalam peruntukan tersebut. Walau apa pun, dalam kes di hadapan kami, peguambela terdahulu telah bersetuju untuk tidak meneruskan dengan permohonannya untuk hakim bicara meneruskan perbicaraan secara de novo setelah satu perbincangan diadakan. [33] Dari rekod rayuan, bantahan oleh peguambela terdahulu berkisar pada isu demeanour dan kredibiliti SP1 dan SP4 oleh kerana dikatakan 16
wujudnya percanggahan dalam keterangan dua saksi penting tersebut. Inilah yang menjadi asas permohonan asal peguambela terdahulu dalam permintaannya untuk perbicaraan semula secara de novo diadakan dan untuk dua saksi penting tersebut dipanggil semula di bawah seksyen 425 KAJ. Isu yang sama telah dihujahkan oleh peguambela terpelajar di hadapan kami. [34] Kami mendapati isu ini telah dipertimbangkan oleh hakim bicara dalam penghakimannya sebelum hakim bicara itu memutuskan untuk menolak permohonan yang dibuat. Kami petik penghakiman hakim bicara di ms 34 37 RR Jld.1 seperti berikut: Di dalam penghujahannya, peguambela telah cuba menerangkan terdapat banyak percanggahan di antara keterangan saksi-saksi pendakwaan. Saya telah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan saya dapati walau terdapat percanggahan di dalam keterangan SP1 iaitu rakan tertuduh yang bersama tertuduh menunggang motosikal bersama barang kes yang dikatakan seakan dalam bentuk hamper dan bersampul hadiah dan SP1 juga gagal untuk mengecam barang kes yang dikatakan diletakkan di dalam raga motosikal yang ditungganginya. Walau bagaimanapun, saya berpendapat percanggahan itu bukanlah satu yang material. Tambahan lagi, saya telah meneliti keterangan SP1 semasa pemeriksaan semula di mana beliau telah menjelaskan tentang hamper yang berada di dalam plastik itu. Berikut adalah keterangannya: 17
S : Kamu setuju bila peguam mengatakan kamu dan Mahendran memang tidak membuka hamper tersebut kamu bersetuju kamu tidak pernah membuka tapi kamu telah mengatakan dalam gambar-gambar yang lain tak sama macam hamper? J : Pembalut hamper yang saya maksudkan tidak ada apa-apa koyakkan sehingga saya turun dari motosikal tersebut. S : Dan kedudukan hamper itu di dalam plastik betul? J : Ya kedudukan hamper itu di dalam plastik. S : Adakah itu bermaksud kamu tak pernah buka plastik tersebut? J : Maksud saya plastik itu juga tidak dibuka oleh saya. S : Sekarang kamu setuju bahawa plastik itu kamu tidak buka bagaimana kamu katakan hamper itu tidak ada koyakan sehingga kamu turun dari motosikal tersebut? J : Saya yang menunggang motosikal kedudukan hamper dalam plastik itu adalah sama dari masa saya mula nampak hamper tersebut di dalam raga motosikal sehingga saya turun dari motosikal. MAH : Pada mula J : Saya mula nampak hamper tersebut di dalam raga motosikal sehingga saya turun dari motosikal. MAH : Ulang J : Kedudukan hamper dari masa saya nampak di stesen minyak Shell sehingga saya turun dari motosikal. MAH : Ulang. 18
J : Saya yang menunggang motosikal pada mula kedudukan hamper dalam plastik adalah sama dari masa saya nampak di stesen minyak Shell sehingga saya turun dari motosikal. Saya juga berpendapat walaupun ada percanggahan di dalam keterangan SP1 mengenai hamper yang berada di dalam plastik, tetapi yang penting ialah SP1 tidak langsung mengetahui dan tidak membuka isi kandungan kotak tersebut kerana tertuduh yang menunjukkan dadah daripada kotak kepada SP4. Di dalam kes ini, walaupun SP1 tidak dapat mengecam barang kes ini, tetapi apa yang penting di dalam kes ini, AP iaitu SP4 dengan pasti telah mengecam kesemua barang kes dan barang kes inilah yang dibawa oleh tertuduh untuk dijualkan kepada SP4. Barang kes telah dilihat oleh SP4. Semasa OKT menunjukkan dadah tersebut, SP5 telah merampas barang kes dan SP5 telah menyerahkan barang kes kepada SP2 iaitu Ahli Kimia untuk dianalisa. Mengenai percanggahan keterangan SP4 dan SP5 yang dihujah oleh peguambela, saya berpendapat sebenarnya tidak ada percanggahan tetapi lebih kepada timing di antara keterangan SP4 dan SP5 ketika tertuduh ditangkap bersama dengan dadah tersebut. Jika pun ada percanggahan, ianya terlalu kecil bagi Mahkamah ini untuk menolak keterangan SP4 dan SP5. Berikut adalah keterangan SP5: S : Kamu nampak L/Kpl Anbalagan keluar dari kereta dan menghala ke motosikal untuk berjumpa dengan lelaki India itu, kamu nampak apakah reaksi dan tindakan semasa perjumpaan itu? 19
J : Saya nampak lelaki India tersebut penunggang motosikal tersebut tunjuk sesuatu di dalam raga motosikal kepada L/Kpl Anbalagan. S : Pada masa itu ada kamu nampak apa yang ditunjukkan? J : Jarak tak nampak apa yang ditunjukkan oleh lelaki India di dalam raga motosikal tersebut. S : Boleh kamu jelaskan jarak kamu atau kedudukan kamu antara kamu L/Kpl Anbalagan dan juga motosikal tersebut? J : Saya berada belakang kereta Sentra tetapi jarak antara kereta Sentra dengan saya adalah lebih kurang 10 meter. S : Bagaimana pula dengan jarak kamu dengan motosikal? J : Motosikal itu berada depan dengan kereta Sentra jarak lebih kurang sama juga. S : Setelah kamu mendapat isyarat serbu apa kamu lakukan? J : Saya bersama pasukan terus menghampiri motosikal itu dan saya terus kenalkan diri sebagai polis. Masa saya kenalkan diri polis, lelaki India tersebut cuba melarikan diri sambil mencampakkan satu bungkusan plastik tetapi lelaki India tersebut berjaya ditangkap oleh saya bersama anggota serbuan.. [35] Kami sepenuhnya bersetuju dengan dapatan hakim bicara mengenai isu ini. Hakim bicara telah membuat dapatan yang betul berdasarkan kepada keterangan yang berada di hadapannya. Kami ingin 20
menambah bahawa sekiranya hakim bicara berpendapat adalah perlu untuk meneliti dan melihat kepada demeanour bagi menentukan kredibiliti saksi-saksi utama pihak pendakwaan, hakim bicara mempunyai pilihan yang mudah untuk merujuk perkara itu kepada rakaman CRT dan transkrip yang berada dalam simpanan Mahkamah. [36] Sekarang kami beralih kepada alasan rayuan kedua perayu berkaitan dengan isu berat dadah berbahaya yang dipertuduhkan. Bantahan peguambela adalah berbangkit dari pernyataan hakim bicara seperti terdapat di ms 47 RR Jld.1 di perenggan 2 seperti berikut: Malangnya pihak pembelaan telah gagal untuk menimbulkan satu keraguan yang munasabah. Oleh itu Mahkamah ini mendapati OKT adalah didapati bersalah dan disabitkan di dalam kesalahan di bawah S39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan itu saya perintahkan OKT dihukum gantung sampai mati. Sebagai penutup, saya sedar berat dadah di dalam kes ini adalah tidaklah terlalu berat dan seharusnya boleh dipertimbangkan di bawah Seksyen 39(a)(2) tetapi ini adalah satu kes A.P. Oleh itu Mahkamah tidak ada pilihan lain selain menyabitkannya di bawah S39(B)(1)(a).. [37] Kami mendapati pernyataan oleh hakim bicara tersebut lebih merupakan satu keterlanjuran cakap (mere verbosity) yang tidak mendatangkan sebarang prejudis, mudarat atau kegagalan keadilan terhadap perayu. 21
[38] Mengenai keterangan SP4/AP, hakim bicara telah menerima keterangan saksi itu. Kami mendapati hakim bicara telah dengan betul menerima keterangan SP4. Tiada sebarang alasan dikemukakan oleh pihak pembelaan untuk menolak keterangan SP4. Di ms 40 RR Jld.1, hakim bicara telah memutuskan seperti berikut: (b) tertuduh mempunyai milikan sebenar serta mempunyai pengetahuan terhadap dadah. Tertuduh yang berunding dalam transaksi jual beli dadah dengan SP4 dan tertuduh bersetuju untuk membekalkan dadah jenis Heroin sebanyak 2 paun dengan harga RM8,000 bagi satu paun. (c) Mengenai pengedaran dadah, adalah jelas bahawa SP4 yang bertindak sebagai AP bahawa terdapat urusan jual beli untuk dadah bernilai RM8,000 satu paun. Lanjutan daripada perundingan inilah yang membawa kepada tangkapan tertuduh. Perbuatan tertuduh yang membawa dadah tersebut di dalam P8(A1) juga sudah terjumlah untuk diiktirafkan sebagai mengedar di bawah Seksyen 2 Akta tersebut.. [39] Berdasarkan kepada keseluruhan keterangan yang berada di hadapan Mahkamah dan berdasarkan kepada alasan penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara, kami mendapati hakim bicara telah membuat dapatan dan keputusan yang betul apabila mendapati pembelaan perayu telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan dan bahawa pihak pendakwaan telah 22
berjaya membuktikan pertuduhan terhadap perayu tanpa sebarang keraguan yang munasabah. Kami mendapati terdapat keterangan yang kukuh (over whelming) untuk mensabitkan perayu atas pertuduhan yang dihadapkan. Kesimpulan [40] Kami mendapati tiada merit dalam rayuan perayu. Sabitan adalah selamat. Dengan itu, kami sebulat suara menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan dan disahkan. Bertarikh: 8 Februari 2017 t.t (KAMARDIN BIN HASHIM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia 23
Peguamcara Bagi pihak Perayu: Foong Kitson (Chew Jee San, bersamanya) Tetuan Kit & Associates Suite 195 1, Sri Wangsaria, Jalan Ara, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur. Bagi pihak Respondan: Muhammad Azmi bin Mashud Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Putrajaya. 24